Berita Terkini

Wednesday, January 16, 2008







Kes Sharlinie bukti Malaysia tidak selamat - Salahuddin Ayub
PETALING JAYA, 15 Jan (Hrkh) - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, Malaysia kini sudah tidak selamat lantaran lambakan kes jenayah yang kian meningkat.

"Saya rasa Malaysia sudah tidak selamat. Bahkan saya sendiri pun berasa takut untuk membenarkan anak-anak saya keluar untuk menjalankan kegiatan rekreasi tanpa pengawasan orang dewasa," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda PAS menyeru masyarakat agar dapat berganding bahu bagi membanteras jenayah yang berlaku di kawasan masing-masing tanpa hanya perlu bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata.
Katanya, penduduk setempat hendaklah sama-sama berperanan bagi membantu menjaga keselamatan memandangkan kadar jenayah negara yang kian meningkat dari masa ke semasa.
"Kita sudah tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan pihak keselamatan apabila kes yang hampir sama berulang dalam tempoh terdekat sebagaimana kejadian malang yang menimpa Arwah Nurin Jazlin Jazimin serta beberapa mangsa sebelum ini," ujarnya kepada wartawan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui apabila mengadakan lawatan ke rumah mangsa penculikan Sharlinie Mohd Nashar, 5, di Kampung Medan, Petaling Jaya Utara hari ini.
"Kita telah mengadakan runding mengenai keselamatan untuk membincangkan kes-kes mutakhir ini kerana kita tertanya-tanya sampai bilakah kita harus menyaksikan lebih banyak lagi kes seumpama ini berlaku?" ujarnya nada kekecewaan.
Bagaimanapun, beliau menyeru pihak polis agar dapat mempertingkatkan kecekapan serta kualiti perkhidmatan mereka selaku anggota keselamatan negara bagi membanteras kegiatan jenayah.
"Pada masa yang sama, masyarakat juga perlu mengikis sikap 'menjaga tepi kain orang' yang sering kali menjadi amalan sesetengah kawasan terutamanya masyarakat yang tinggal di bandar, kerana ia ternyata merugikan banyak pihak," ujarnya.
Dalam pertemuan Pemuda PAS dengan ibu Syarlinie, Suraya Ahmad, 28, beliau turut berkongsi rasa simpati di samping berdoa agar Sharlinie segera ditemui dengan selamat.
"Saya amat berharap dan akan terus berdoa agar Sharlinie ditemui dengan selamat," tambahnya.
Pada masa yang sama, ketika ditanya Salahudin mengenai gerak hati beliau mengenai anak peremuannya itu sama ada masih hidup ataupun sebaliknya, Suraya hanya berkata bahawa beliau menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah semata-mata.
Di kesempatan itu, Salahudin bersama rombongan Pemuda PAS Pusat turut menghulurkan sumbangan serta buah tangan bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.
"Kami telah mengarahkan pemuda PAS seluruh negara mengadakan solat hajat serta bacaan yasin sehingga Sharlinie ditemui di samping menggerakkan pasukan Unit Amal Malaysia untuk mengedarkan risalah bagi membantu mengesan mangsa.
"Saya memahami tekanan yang dirasai oleh keluarga adik Sharlinie dan saya memanjatkan doa kepada Allah agar segala urusan ini dipermudahkan," jelasnya.
Tegas Salahuddin, kes-kes seumpama ini memberikan tanggapan kepada semua pihak bahawa ibubapa serta penjaga perlu lebih berwaspada serta mengawal gerak geri anak-anak mereka ketika berada di luar rumah.
Semalam, Pemuda PAS kawasan Petaling Jaya Selatan serta Lajnah Kebajikan Pemuda PAS Pusat telah turut sama mengadakan kunjungan ke rumah Sharlinie serta mengadakan solat hajat serta bacaan surah yasin di sana.
Sharlinie dilaporkan hilang kira-kira 11.30 pagi Rabu 9 Januari lalu ketika bermain bersama kakaknya Sharliena, 8, di taman permainan yang jaraknya hanya 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan di sini.
Sehari selepas itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dilaporkan diculik di Taman Medan, Petaling Jaya sebelum ditinggalkan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur semalam, satu lagi kes berlaku di taman yang sama. - mr
-->



No comments: